Ciri-ciri saput cendawan mekah Cendawan mekah

Pembentukan kulipis selulosa pada permukaan cecairnya merupakan sebuah bahan berciri-ciri unik yang bermanfaat buat bakteria dan juga penggunanya. Selepas bakteria, misalnya Acetobacter, disuntikkan ke dalam kultur, ia mula menarik dan mencantum molekul glukosa di luar sel dengan rantaian β(1-4) untuk menghasilkan benang-benang halus pada membran sel mereka yang dipanggil gerentian ataupun fibril.[1] Kumpulan nanoselulosa yang membentuk fibril-fibril ini amat kuat dan stabil sementara turut membenarkan tindakan dan kebioserasian hidrofili berlaku, sekali gus menjadikannya bahan yang berguna untuk kultur tersebut.[14] Berjenis-jenis tindakan percantuman di dalam dan di antara molekul kemudiannya menghubungkan fibril-fibril ini menjadi sebuah struktur yang lebih besar iaitu mikrofibril; oleh sebab kepaduan mikrofibril ini dan ikatan selulosa yang teratur dan memanjang, saput yang terhasil dinamakan sebagai indung atau matriks. Saput ini merupakan mekanisme pertahanan kultur gabungan yang semula jadi, dan ia dapat menahani persekitaran melampau seperti suhu tinggi dan pancaran sinaran ultralembayung yang kuat. Dua sifat lain cendawan mekah, iaitu ketulenan dan kehablurannya sedang disasarkan penyelidik bioperubatan untuk menerapkan sifat-sifatnya kepada penyokong pertumbuhan sel dan komponen jantung yang serasi dengan sel hidup seperti pembuluh darah, graf tulang dan pengganti tisu perantara.[15] Fibril-fibril nanoselulosa ini juga dapat diperoleh melalui hidrolisis asid dan digunakan dalam pembungkusan makanan, pembuatan pakaian dan perawatan air kumbahan.

Ketebalan cendawan mekah kombuca bergantung kepada sekitaran pembuatannya, tetapi sebuah kajian melaporkan purata ketebalannya ialah dua hingga lima milimeter.[16] Cendawan mekah boleh dibahagikan untuk memulakan banyak kultur pada masa yang sama atau dikeringkan untuk disimpan dan digunakan lain kali. Selepas dikeluarkan dari cecair, kulturnya akan mula menghasilkan saput baharu yang dinamakan "anak" cendawan mekah. Proses ini boleh diulangkan beberapa kali untuk beberapa bulan serentak.[17]

Lima balang cendawan mekah

Berkaitan